MY CREW

Program realtiti cungkil bakat, angkat martabat bintang seni negara



RADIO Televisyen Malaysia (RTM) menghasilkan program yang menghiburkan untuk menarik minat penonton mengikuti siarannya dengan menyiarkan program realiti diberi nama Tiada Lama Tiada Baharu... Satu Satunya (TLTB), yang mencungkil bakat sekali gus mengangkat imej dan martabat bintang seni negara yang banyak berjasa dan terus popular.

Membuka tirai edisi sulungnya, program TLTB yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya pada 3 Januari lalu, mula menemui penonton di TV1,  jam 9 malam.
Disiarkan secara langsung dari Studio 1 Angkasapuri, Kuala Lumpur, program sejam ini mengetengahkan penyanyi malar segar, Datuk Jeffydin, sebagai ikon minggu ini dalam episod pengenalannya, manakala penyanyi popular, Alyah, yang muncul dengan single terbaru bertajuk Kau Bisu akan tampil sebagai jemputan khas.

Peserta yang bertanding minggu ini pula menjanjikan persaingan sengit dengan Umar, Puteri dan Shiqal bersaing sesama mereka dalam kategori nyanyian, manakala kategori Muka Iras Artis pula meletakkan saingan antara Baizura yang memiliki wajah persis Amy Mastura dengan Haimi yang wajahnya iras pelawak terkenal tanah air, Mr Os.

Pelakon Didie Alias dan Azwan Ali bakal muncul sebagai hos rancangan, dengan imej dan gaya penyampaian bersahaja mereka. RTM yakin dua nama popular ini bakal memberikan kejutan tersendiri.

TLTB dengan tagline Satu Satunya bertujuan melahirkan bintang realiti TV yang berwibawa lagi berkualiti dan mampu bertahan lama dalam arus perdana dunia seni negara.
RTM turut yakin dan amat optimistik program realiti TV yang julung julung kalinya diterbitkan ini mampu mencetuskan satu lagi fenomena dan bakal gagah bersaing dengan lain lain program realiti TV yang telah lama popular.

Gandingan mantap ikon terunggul dan persaingan bakat bakat baru bersama ikon masing masing pasti menyemarakkan kembali sengatan dunia muzik tempatan.

Sebelas ikon yang terpilih untuk sama-sama menyerikan program realiti terkini ini ialah Datuk Jeffrydin, Datuk A Rahman Hassan dan isteri, Datin Azizah Ahmad, Datuk DJ Dave, Datuk M Daud Kilau, Datuk David Arumugam, Hail Amir, Uji Rashid, Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Aishah, Noraniza Idris dan Mas Idayu.

TLTB ini disiarkan secara langsung selama 13 minggu dan malam kemuncaknya dijangka diadakan pada 15 April nanti. -HG

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...